SINGAPURA: Acara maraton terbesar Asia, iaitu OSIM Sundown Marathon 2020 dibatalkan.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah 13 tahun acara maraton tahunan tersebut dibatalkan.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh syarikat perhubungan media bagi acara tersebut, F4U Pte Ltd semalam (12 Mac).

Pembatalan itu akan menjejas sekitar 25,000 peserta.

Keputusan itu dibuat menyusuli langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penularan COVID-19 sebagai pandemik atau wabak global dan peningkatan penilaian risiko ke tahap “sangat tinggi” .

Acara maraton tahunan itu dijadual berlangsung di F1 Pit pada 23 Mei tahun ini.

Meskipun masih mempunyai masa lebih dua bulan lagi sebelum tarikh acara, penganjurnya memilih untuk membatalkannya setelah menimbangkan risiko-risiko virus tersebut bersama pihak penaja dan juga rakan industri.

Ini juga demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan para peserta maraton, penaja dan kakikatangan yang akan terlibat.

Lebih-lebih lagi memandangkan jumlah kes yang melonjak di merata dunia.

“Keputusan ini bukan dibuat sewenang-wenangnya. Meskipun keputusan ini akan menjejas perancangan sekitar 25,000 peserta yang kami terima dari tahun ke tahun, kesihatan dan keselamatan orang ramai menjadi keutamaan,” menurut seorang jurucakap Sundown Marathon, Encik Max Phua.

Setiap tahun, maraton OSIM Sundown menarik peserta dari lebih 30 negara.

Ini juga bermakna terdapat risiko kesihatan melebihi acara-acara lain sekiranya ia diteruskan pada masa-masa mencabar ini.

“Kami memilih untuk tidak membahayakan sesiapa. Kami hargai komitmen semua para peserta yang mahu menyertai acara tahun ini. Kami harap mereka akan terus memberikan sokongan apabila kami menganjurkannya lagi pada tahun depan, tambah Encik Phua.

JIKA SUDAH DAFTAR, APA YANG AKAN BERLAKU?

Jika anda sudah mendaftar untuk menyertai acara tahun ini, jangan gusar.

Menurut pihak penganjur, mereka yang sudah mendaftar tahun ini, akan secara langsung dibenarkan menyertai acara larian maraton tahun depan.

Namun, sekiranya anda mahu mendapatkan semula bayaran, ia akan diuruskan oleh pihak penganjur.

Pihak penganjur juga menyediakan pelbagai bahan online mengenai kegiatan larian menerusi cara-cara alternatif.

Inisiatif baru Sundown itu memaparkan video-video atau vlog, yang dimuat naik ke laman web dan juga YouTube Sundown Marathon.

Sebanyak lapan vlog yang menunjukkan perkongsian daripada duta Sundown Marathon, Dr Ben Tan.

Beliau merupakan pemenang pingat emas dalam Sukan Asia (1994) dan pemenang empat kali berturut-turut dalam Sukan SEA (1989, 1991, 1993 dan 1995) bagi sukan layar.

Dr Tan juga pernah sampai ke garisan penamat dalam enam acara larian maraton utama di dunia.

Vlog tersebut juga akan menampilkan pengacara dan pelakon Paul Foster yang menyertai acara larian maraton OSIM Sundown Marathon pada tahun 2019.

Pelbagai insiatif baru yang lain akan dilancarkan sepanjang tahun ini. 

Categories:

Tags:

No responses yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *